Berita Utama

Polisi sijil halal Malaysia tak iktiraf produk berkait arak

Jakim siasat isu wine dari Perancis jika ada salah guna logo halal

BANGI, 6 Syawal 1444H, Khamis – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menegaskan bahawa polisi pensijilan halal Malaysia tidak mengiktiraf sebarang produk arak atau berasaskan arak untuk diperakukan halal.

Justeru, Jakim menafikan sebuah video TikTok berbahasa Perancis yang tular baru-baru ini, berhubung produk wine jenama Night Orient Non-Sparkling Drink yang didakwa memiliki pensijilan halal dari Malaysia.

Menurut Jakim, produk wine berasaskan aroma citrus itu telah dinyah alkohol setelah melalui proses fermentasi menggunakan mesin berteknologi tinggi yang dihasilkan di Perancis.

Susulan perkara itu, Jakim berkata, peraturan menetapkan mana-mana produk menggunakan nama atau jenama produk sinonim dengan produk lain yang tidak halal juga tidak boleh memohon sijil halal.

“Jakim juga ingin menafikan dakwaan yang dinyatakan dalam kandungan video tersebut bahawa bayaran caj pensijilan halal sebanyak €10,000 dikenakan untuk tempoh dua tahun.

“Sebaliknya, caj Pensijilan Halal Malaysia bagi pengilangan produk luar negara yang sedang berkuat kuasa adalah sebanyak USD2,100 sahaja,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jakim turut mendapati sijil halal Malaysia yang dipaparkan dalam video berkenaan adalah atas nama Inspirasi Mesra Sdn Bhd, sebuah syarikat berdaftar di negara ini yang telah tamat tempoh pada 2017 dan bukan diberi kepada syarikat di luar negara.

“Sijil berkenaan tidak sah digunakan lagi kerana tandatangan yang tertera tidak merujuk kepada tandatangan Ketua Pengarah Jakim ketika ini.

“Jakim memandang serius terhadap isu seumpama ini dan sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mendapatkan maklumat lebih terperinci sama ada wujud salah guna logo atau sijil pengesahan halal Malaysia serta sejauh mana tindakan undang-undang boleh diambil kepada pihak-pihak berkenaan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button