i-Guru syor galak semula SOP COVID-19 di sekolah
KPM, KKM perlu cari pendekatan terbaik tangani varian Arcturus

BANGI, 7 Syawal 1444H, Jumaat – Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) perlu mencari pendekatan terbaik susulan penularan varian baharu digelar XBB. 1.16 atau Arcturus, yang mencetuskan kebimbangan serta menjadi punca peningkatan kes COVID-19 kebelakangan ini.
Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, tindakan itu penting bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid terus terjamin, terutama sepanjang berada di kawasan sekolah.
“Dalam pada itu, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang betul juga perlu diperkenalkan semula terutama ketika sesi pembelajaran bermula selepas cuti sambutan Aidilfitri ini.
“Semua pihak juga disaran supaya sentiasa menitikberatkan penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, KKM mencadangkan supaya pemakaian pelitup muka diwajibkan semula di sekolah bagi mengekang lonjakan kes COVID-19 susulan penularan varian XBB.1.16, atau dikenali sebagai Arcturus.
Malah, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa mendedahkan, terdapat enam lagi kes baharu berkait dengan varian Arcturus iaitu empat di Selangor dan dua di Kuala Lumpur.
Terdahulu, penularan Acturus di Malaysia dilaporkan pada awal bulan ini iaitu enam kes pertamanya di Sarawak.
Susulan perkembangan itu, Ustaz Mohd Azizee menggesa semua pihak mengutamakan penjagaan kesihatan diri seperti kerap membasuh tangan dan menggalakkan kembali pemakaian pelitup muka.
“Pemakaian pelitup muka juga digalakkan semula di sekolah bagi mengekang lonjakan kes COVID-19, selain sekiranya mengalami gejala yang membimbangkan selain berada di tempat sesak,” katanya.
“Ujian saringan COVID-19 juga wajar dilakukan sekiranya bergejala dan terus mengunjungi klinik apabila berlaku komplikasi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menggesa ibu bapa supaya memberikan kerjasama dengan pihak sekolah berkaitan anak-anak mereka, termasuk mematuhi SOP yang ditetapkan.