Peruntukan ahli Parlimen mestilah adil, sama rata
Kerajaan perlu tepati janji seperti ketika kempen PRU lalu

BANGI, 7 Syawal 1444H, Jumaat – Wakil rakyat pembangkang tidak dapat menepati asas untuk menyelesaikan masalah yang berlaku dalam kawasan masing-masing, sekiranya mereka hanya diberikan peruntukan pentadbiran.
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jika contoh kawasannya ditimpa bencana, kebakaran atau ribut, sudah tentu peruntukan pembangunan diperlukan segera bagi membantu penduduk yang terjejas.
“Apa sahaja bencana yang berlaku, rakyat akan meminta peruntukan kepada wakil rakyat di kawasan masing-masing.
“Maka, peruntukan pembangunan juga seharusnya dipertimbangkan,” katanya seperti dilapor Berita Harian (BH), hari ini.
Atas dasar itu, Tuan Ibrahim menuntut kerajaan menepati janji dalam memperjuangkan dasar adil dengan memberikan peruntukan kepada semua ahli Parlimen.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, peruntukan yang disalurkan mestilah sama rata, tanpa mengira daripada blok pembangkang atau kerajaan.
“Janji untuk memberi peruntukan sama rata adalah janji mereka bagi menggambarkan keadilan seperti yang diuar-uarkan semasa kempen Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
“Bagaimanapun, kami akan lihat bukti terlebih dahulu sebagaimana yang dinyatakan (oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi), walaupun kini dengan jelas kerajaan tidak berlaku adil sebagaimana yang dilaungkan dulu,” katanya
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan, kerajaan secara dasar bersetuju memberikan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang, namun ia hanya membabitkan perbelanjaan pentadbiran.
Rundingan berkaitan peruntukan berkenaan sedang dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof.
“Di peringkat awal, kita setuju (beri peruntukan) untuk perbelanjaan pentadbiran, jumlah peruntukan hanya dapat diputuskan selepas rundingan terbabit selesai dan kemudiannya akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.