Berita UtamaDunia

Resolusi PBB desak Taliban hentikan sekatan ke atas wanita

Larangan di Afghanistan gugat hak asasi, langgar prinsip kemanusiaan

NEW YORK, 7 Syawal 1444H, Jumaat – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi menggesa Taliban menarik balik semua langkah sekatan yang dikenakan terhadap wanita dan mengutuk sebahagian polisi itu.

Resolusi yang diterima sebulat suara kesemua 15 anggota menyatakan, larangan diumumkan awal April lalu dilihat menggugat hak asasi dan melanggar prinsip kemanusiaan.

“Secara khususnya, Majlis Keselamatan menggesa Taliban supaya menarik balik dengan segera semua amalan yang menghalang peluang wanita terhadap hak asasi manusia, termasuk akses kepada pendidikan dan pekerjaan,” katanya.

Pada masa sama, PBB turut menyeru semua negara dan organisasi menggunakan pengaruh masing-masing supaya Taliban akur dengan arahan berkenaan, sekali gus menarik balik sekatan.

Badan tersebut juga menekankan bahawa Taliban kini berdepan keadaan ekonomi dan krisis kemanusian kritikal.

Sementara itu, Duta Emiriah Bersatu Arab (UAE) ke PBB, Lana Zaki Nusseibeh berkata, dunia tidak akan berhenti berjuang untuk wanita Afghanistan.

“Kami tidak akan berdiam diri ketika wanita Afghanistan dianiaya dan dicabul hak dan cubaan memadamkan kebebasan wanita dalam masyarakat,” katanya.

Di sebalik sokongan resolusi, Duta Russia, Vasily Nebenzia pula mengkritik dan menyalahkan negara Barat berikutan berlaku keadaan itu.

“Kami sebenarnya kesal dan kecewa kerana pendekatan ini juga disekat oleh Barat.

“Sekiranya ikhlas kenapa tidak memulangkan semula aset Afghanistan yang dicuri,” katanya yang merujuk kepada aset Bank Pusat Afghanistan yang dibekukan Amerika Syarikat (AS) selepas Taliban mengambil alih pentadbiran negara pada 2021. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button