Berita Utama

Rumah terbuka Madani, guna dana kerajaan atau parti?

PM konsisten langgar prinsip, tak nampak kredibiliti memimpin

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 7 Syawal 1444H, Jumaat – BERJASA melihat tiada sebarang justifikasi yang jelas atau asas kukuh untuk kerajaan Malaysia Madani yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengadakan Rumah Terbuka Aidilfitri di enam negeri yang terbabit Pilihan Raya Negeri (PRN).

Sebaliknya, penganjuran itu semata-mata menonjolkan tindakan terdesak Perdana Menteri dan kerajaan untuk mendapatkan sokongan pada PRN tidak lama lagi.

Naib Presiden BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al-Hakim berkata, siri penganjuran majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani yang bermula di Kedah esok, turut dilihat janggal dan bersifat populis.

“Ini sudah tentu merupakan satu pembaziran dan kita tidak tahu adakah sumber dana yang digunakan itu adalah dana kerajaan atau dana parti.

“Sepatutnya, mereka tidak guna dana kerajaan atas dasar agenda parti yang ingin memenangi PRN di negeri-negeri berkenaan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Sebelum ini, Anwar mempelawa orang ramai untuk bersama-sama memeriahkan penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani bersama Perdana Menteri dan jemaah menteri yang dijadualkan berlangsung di enam negeri.

Pada pemerintahan terdahulu, penganjuran Rumah Terbuka Perdana Menteri dan Jemaah Menteri selalunya diadakan pada Hari Raya pertama di Putrajaya.

Bagaimanapun, Anwar kali ini memecah tradisi itu dengan menganjurkannya di enam negeri yang bakal bermula di Kedah pada 29 April, diikuti Pulau Pinang (6 Mei), Negeri Sembilan (7 Mei), Kelantan (12 Mei), Terengganu (13 Mei) dan kemuncaknya di Selangor (14 Mei).

Mengulas lanjut, Muhammad Lukman turut mempersoalkan pertindihan penganjuran sama yang mungkin akan turut dibuat oleh kerajaan negeri.

“Kenapa kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri sibuk juga nak mengadakan sambutan Aidilfitri ini? Ia akan menambahkan lagi senarai tindakan PM yang bercanggah dengan agenda atau retorik diangkat dari segi ketelusan, penjimatan, keterbukaan serta kesamarataan.

“Ternyata PM konsisten melanggar prinsip, cakap tidak serupa bikin dan mencetuskan kemarahan rakyat yang tidak nampak kredibiliti beliau memimpin dan pelbagai tindakan pelik, jelik dilaksanakan beliau demi kepentingan agenda politik peribadi, bukan untuk pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button