Berita Utama

Kanak-kanak 4 tahun maut didera ibu kandung, bapa tiri

Mangsa cedera di kepala, belakang telinga, perut dan dua kaki

JOHOR BAHRU, 8 Syawal 1444H, Sabtu – Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut dipercayai menjadi mangsa dera ibu kandung dan bapa tiri, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP Rahmat Ariffin berkata, kanak-kanak tersebut disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Wad Kecemasan, Hospital Sultanah Aminah di sini, kira-kira 8.20 pagi.

“Terdapat kecederaan di kepala mangsa, di belakang kedua-dua telinganya, perut dan kedua-dua kakinya.

“Susulan itu, sepasang suami isteri yang merupakan ibu kandung dan bapa tiri mangsa ditahan di rumah mereka di Jalan Aman, Skudai pada 1.30 tengah hari semalam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pasangan suami isteri itu, masing-masing berusia 20-an juga mengaku terlibat dalam kes berkenaan.

Selain itu, Rahmat berkata, lelaki terbabit yang bekerja sebagai pengawal keselamatan mempunyai satu rekod jenayah lampau manakala wanita yang sedang mengandung dua bulan, juga mempunyai seorang anak lelaki berusia enam bulan. 

Turut dirampas sebuah telefon dan beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk mendera mangsa, katanya.

“Kedua-dua individu berkenaan telah direman dengan lelaki tersebut direman selama tujuh hari mulai hari ini sehingga 5 Mei manakala wanita berkenaan direman dua hari sehingga esok,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 (Penganiayaan, Pengabaian, Pembuangan atau Pendedahan Kanak-kanak, yang boleh dipenjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pihaknya kini sedang mengesan saksi dan bukti lain bagi membantu siasatan, katanya.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button