KPM jangan abai 269,332 murid gagal kuasai kemahiran 3M
Syor peruntukan dana khas untuk sediakan kelas bimbingan

Oleh Zuhayati Yazid
BANGI, 8 Syawal 1444H, Sabtu – Kementerian Pendidikan (KPM) digesa supaya tidak mengabaikan isu keciciran membabitkan 269,332 murid yang dilaporkan tidak boleh menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).
Justeru, Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) menggesa KPM untuk bertindak agresif mencari penyelesaian terbaik dalam menangani isu itu.
Presidennya, Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, sebagai langkah pertama, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) perlu memainkan peranan utama dalam menghimpunkan data berkaitan kes keciciran untuk mengenalpasti punca masalah sebenar.
“Dalam pada itu, analisa juga perlu dilakukan segera bagi mengesan punca sebenar, sama ada ia berpunca daripada pihak sekolah termasuk persekitaran yang tidak kondusif disebabkan kekurangan kemudahan atau melibatkan berkait dengan masalah murid sendiri.
“Selain itu, pelan tindakan bagi jangka masa pendek, sederhana serta panjang perlu dirangka dan disediakan melibatkan permasalahan ini,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 269,332 murid sekolah rendah di seluruh negara dikesan belum mampu menguasai kemahiran asas 3M iaitu membaca, mengira dan menulis.
Angka itu berdasarkan jawapan lisan KPM ketika sidang Dewan Negara, baru-baru ini.
Susulan perkembangan itu, Dr Mohamad Ali mencadangkan supaya dana khas diperuntukkan bagi menyediakan kelas bimbingan di sekolah-sekolah, untuk membantu menyelesaikan masalah keciciran murid.
Katanya, dana berkenaan juga boleh digunakan sebagai insentif kepada guru-guru yang bertanggungjawab menjayakan kelas bimbangan itu.
“Saya juga mencadangkan supaya sesi kaunseling dan motivasi diberikan, bukan sahaja kepada murid terbabit (keciciran) sebagai sokongan, bahkan juga kepada ibu bapa serta penjaga mereka.
“Ini penting supaya tiada pihak menyalahkan antara satu sama lain dalam menyelesaikan permasalahan ini, sebaliknya perlu berganding bahu demi mencapai matlamat untuk memperoleh sifar kes keciciran murid,” katanya.