PRN: Dakwaan KJ jadi calon PN di Selangor hanya khabar angin
PAS sedia terima mana-mana pemimpin parti lain untuk kerjasama

BANGI, 8 Syawal 1444H, Sabtu – Perikatan Nasional (PN) Selangor menegaskan dakwaan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor hanyalah khabar angin semata-mata.
Setiausaha PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, pihaknya tidak pernah membincangkan untuk menyenaraikan bekas Ketua Pemuda UMNO itu pada PRN yang dijangka diadakan tidak lama lagi.
“Ini semua kemungkinan dan tidak ada pengesahan pun Khairy bertanding dalam PRN Selangor.
“Kita tidak pernah bincang sama ada Khairy sertai PAS atau Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia),” katanya.
Dalam pada itu, Roslan Shahir berkata, sekiranya Khairy berhasrat untuk menyertai pasukannya, beliau perlu mengemukakan sebarang permohonan kepada PAS Pusat.
Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang permohonan daripada Khairy untuk menyertai parti berkenaan.
Beliau menjelaskan, PAS bersedia untuk menerima mana-mana pemimpin parti lain menyertai parti itu dan bekerjasama bagi menewaskan Pakatan Harapan (PH) pada PRN kali ini.
Terdahulu, tular di sebuah portal berita melaporkan Khairy akan bertanding di salah satu kerusi DUN di bawah Parlimen Sungai Buloh, sekiranya beliau menerima tawaran Bersatu untuk menyertai parti itu sebelum PRN akan datang.