Sekolah persendirian Cina dapat RM250,000, tapi tahfiz hanya RM117,500
Kerajaan patut semak purata peruntukan supaya bantuan diseragamkan

BANGI, 8 Syawal 1444H, Sabtu – Kerajaan digesa supaya menyemak purata kadar peruntukan bantuan yang diberikan kepada sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) dan sekolah agama bagi memastikan bantuan dapat diseragamkan.
Agihan berkenaan perlu diseragamkan berikutan agihan bagi kedua-dua jenis ini membangkit pelbagai persoalan khususnya dari segi purata jumlah peruntukan yang diberikan, kata Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh.
“Jika penentuan peruntukan kerajaan mengikut purata bilangan sekolah, kami menggesa kerajaan menyemak semula kadar peruntukan purata SMPC untuk diseragamkan dengan peruntukan kepada institusi pendidikan agama.
“Manakala bakinya perlu diberikan kepada sekolah menengah aliran kebangsaan yang secara jelas untuk semua kaum dan berpaksikan silibus kebangsaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas peruntukan RM15.75 juta kepada SMPC dan RM150 juta kepada sekolah tahfiz dan institusi pondok, baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata, jika dilihat secara terperinci, RM150 juta yang diperuntukkan bagi 1,276 sekolah berdasarkan institusi sekolah agama berdaftar, bermakna setiap satu sekolah hanya mendapat RM117,500 sahaja.
Manakala, peruntukan RM15.75 juta bagi SMPC itu diagihkan kepada 63 sekolah dengan setiap sekolah mendapat bantuan RM250,000.
“Dari segi Perlembagaan kedudukan institusi SA dan SMPC adalah tidak sama yang mana peruntukan pendidikan agama diberikan menerusi Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM) dan bukannya Kementerian Pendidikan (KPM).
“Ia menunjukkan punca kuasa kewujudan institusi itu mengikut peruntukan Perlembagaan, apakah kriteria penentuan jumlah peruntukan kepada institusi pendidikan agama dan SMPC? Berdasarkan kriteria apakah jumlahnya ditentukan? ” soalnya.
Dalam pada itu, Muhamad Akmal turut mencadangkan supaya institusi yang tidak dapat beroperasi kerana kekurangan dana diserap ke dalam sekolah aliran kebangsaan.
“Sekiranya alasan peruntukan diberi kepada SMPC atas faktor kekurangan dana, kami cadangkan SMPC yang tidak mampu menjalankan operasi boleh diserapkan dalam sekolah aliran kebangsaan,” katanya.