Berita Utama

PAS tak pernah bincang isu pengampunan Najib

Kenyataan Zaharudin hanya pandangan peribadi saja

BANGI, 9 Syawal 1444H, Ahad – PAS tidak pernah membincangkan isu pengampunan diraja bagi membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad berkata, kenyataan yang dibuat yang Dipertua PAS kawasan Subang, Zaharudin Muhammad berhubung isu berkenaan hanya pandangan peribadi semata-mata.

“Itu mungkin padangan peribadi sahaja. Kita dalam PAS tak pernah bincang.

“Kita pun tak tahu apa yang dia (Zaharudin) tulis dan cakap mengenai itu kerana kita tidak bincangkan pun bab itu,” katanya seperti dipetik Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Zaharuddin yang menyatakan langkah pengampunan itu proses lebih dekat dengan kaedah Islam dan lebih baik berbanding mengekalkan Najib dalam penjara sehingga tempoh hukuman berakhir.

Zaharudin dilapor berkata demikian menerusi rakaman video yang dikongsi dalam laman Facebook Najib Razak semalam.

Beliau juga menjelaskan, yang lebih dekat dengan keadilan dan Islam adalah apabila tersalah melepaskan orang yang bersalah lebih baik berbanding tersalah menghukum orang yang tidak bersalah.

Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas rayuan terakhirnya terhadap sabitan bersalah kes SRC International ditolak oleh Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu.

Permohonan Najib bagi mendapatkan semakan kehakiman terhadap keputusan itu ditolak Mahkamah Persekutuan pada 31 Mac.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button