Berita Utama

PRN: PAS Selangor sahkan Shahidan tiada dalam senarai calon

Senarai pendek calon sudah selesai, tertumpu anak jati negeri

BANGI, 9 Syawal 1444H, Ahad – PAS Selangor mengesahkan nama Datuk Seri Shahidan Kassim tiada dalam senarai calon parti tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN), nanti.

Tiada sebarang perbincangan meletakkan nama Ahli Parlimen Arau itu berikutan PAS telah menyenaraikan nama calon yang akan diletakkan di negeri tersebut, kata Setiausaha Perhubungan PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir.

“Setakat ini, calon yang disenarai pendek PAS Selangor adalah dalam kalangan anak jati negeri ini sahaja.

“Tiada perbincangan untuk meletakkan Shahidan, bagaimanapun, di peringkat Pusat kami tidak tahu jika ada cadangan untuk meletakkannya sebagai calon di mana-mana kerusi DUN untuk PRN akan datang,” katanya.

Mengulas lanjut, Roslan menegaskan pembahagian kerusi DUN Selangor antara PAS, Bersatu dan Gerakan sudah hampir selesai dan akan memperkenalkan calon setelah senarai tersebut mendapat ‘lampu hijau’ daripada kepimpinan tertinggi PAS.

“Hanya ada dua atau tiga kerusi belum dimuktamadkan. Kami bersepakat menyerahkan keputusan kepada PAS pusat untuk menyelesaikannya,” katanya.

Roslan berkata, pihaknya mengambil maklum bahawa Shahidan ada menawarkan diri sebagai calon, malah, memberi jaminan untuk menyokong jika kepimpinan parti berpandangan ia boleh membantu memberi kemenangan dalam PRN akan datang.

Sebelum ini, Shahidan memberitahu tidak mempunyai sebarang agenda untuk merebut apa-apa jawatan tetapi akan menggunakan pengaruhnya untuk membina gelombang yang dahsyat untuk PN di Selangor.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button