Rejim Israel rampas 70 rumah penduduk Palestin
Kediaman dirampas diserah pada penceroboh haram Yahudi

TEBING BARAT, 9 Syawal 1444H, Ahad – Pihak berkuasa pendudukan Israel merampas 70 rumah penduduk Palestin di Kota Lama di wilayah selatan Tebing Barat yang diduduki di Hebron.
Pengarah Jawatankuasa Pembinaan Hebron, Imad Hamdan berkata, rejim haram Israel merancang untuk menyerahkan kediaman Palestin kepada penceroboh haram Israel.
Tambah beliau, serangan Israel ke atas Bangunan Nasreddine hanya satu permulaan dalam pelaksanaan rejim haram Zionis serta menegaskan, rakyat Palestin adalah pemilik tulen rumah dan kedai tersebut.
Imad menekankan bahawa pemilikan Palestin ke atas bangunan ini dilindungi oleh undang-undang tempatan dan antarabangsa, yang menjamin kediaman selamat warganegara dan mencegah pengusiran secara paksa.
Dalam pada itu, aktivis Palestin di Hebron, Issa Amro mengkritik tindak balas lemah oleh Jawatankuasa Pembinaan terhadap rancangan pendudukan Israel yang dianggap berbahaya kepada seluruh warga Palestin.
Amro berkata, pengusiran secara paksa terhadap rakyat Palestin keluar dari Bangunan Nasreddine bukan satu insiden tanpa sebarang tindakan rasmi.
Beliau menuduh Jawatankuasa Pembinaan Hebron, sebuah badan kerajaan Palestin, merancang kecurian harta benda rakyat Palestin dengan pihak berkuasa pendudukan Israel.
Aktivis itu mengutuk sikap berdiam diri Jawatankuasa Pembinaan Hebron berhubung perobohan enam kedai Palestin oleh peneroka Israel di tengah-tengah bandar itu beberapa hari lalu.
Katanya, jawatankuasa itu mempunyai bajet yang besar dan seharusnya mampu membantu lebih banyak lagi untuk perlindungan harta benda Palestin di bandar itu. -Agensi