Dunia

Korban pergolakan Sudan kini 528

Abai gencatan senjata, pertempuran maut berterusan tanpa henti

KHARTOUM, 10 Syawal 1444H, Isnin – Angka kematian di Sudan akibat pertempuran berterusan antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) meningkat kepada 528.

Kementerian Kesihatan mengesahkan seramai 4,599 orang cedera dalam pertempuran berdarah yang berlanjutan dari 15 April hingga 27 April.

Kementerian sebelum ini meletakkan angka kematian akibat konflik yang berterusan itu adalah sebanyak 512 orang manakala 4,193 lagi cedera.

Dalam pada itu, 12 daripada 18 negeri di Sudan menyaksikan pertempuran antara dua musuh yang bertelagah itu.

Pertempuran baru meletus pada hari Sabtu antara tentera Sudan dan pejuang RSF walaupun gencatan senjata selama 3 hari.

Beribu-ribu orang, termasuk warga asing, telah melarikan diri dari Sudan sejak tercetusnya keganasan antara dua pihak yang bercanggah sejak 15 April lalu.

Perselisihan pendapat tercetus sejak beberapa bulan kebelakangan ini antara tentera dan paramilitari mengenai pembaharuan keselamatan tentera.

Sudan tidak mempunyai kerajaan yang berfungsi sejak Oktober 2021, apabila pihak tentera memecat kerajaan peralihan Perdana Menteri, Abdalla Hamdok lantas mengisytiharkan darurat dalam satu tindakan yang dikecam oleh kuasa politik sebagai rampasan kuasa.

Tempoh peralihan Sudan, yang bermula pada Ogos 2019, dijadualkan berakhir dengan pilihan raya pada awal 2024. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button