Dunia

Polis Jerman dikecam pisahkan anak dengan keluarga

Anak kecil ada masalah kesihatan dirampas secara paksa

BERLIN, 10 Syawal 1444H, Isnin – Pihak berkuasa Jerman berdepan kritikan hebat sejak video tular menunjukkan seorang kanak-kanak pendatang Islam secara paksa dipisahkan daripada keluarganya di bandar Bremerhaven.

Video tersebut menunjukkan anggota polis serta pegawai agensi perlindungan kanak-kanak memasuki sebuah rumah lantas mengambil seorang budak kecil daripada keluarganya secara paksa.

Kanak-kanak yang ketakutan itu menangis meminta pertolongan dan cuba menentang pegawai.

Ahli keluarga boleh dilihat menjerit kepada pegawai, serta memberitahu pihak pegawai bahawa budak kecil tersebut mempunyai beberapa masalah kesihatan, mengalami tekanan, dan tidak boleh diambil dari mereka.

Tetapi salah seorang pegawai polis kedengaran memberitahu keluarga bahawa ia adalah keputusan mahkamah bahawa mereka berada di sana untuk melaksanakan perintah mahkamah.

Ramai pengguna media sosial pada hari Jumaat mengecam tindakan pihak polis atas salah laku dan menuduh pejabat kebajikan belia mengambil anak daripada ibu bapa mereka secara paksaan.

Polis Bremerhaven mengesahkan bahawa kejadian itu berlaku minggu ini, tetapi mendakwa bahawa video itu telah disebarkan dalam media sosial dengan dakwaan palsu tentang sebab-sebab tindakan itu.

“Menjaga kanak-kanak sentiasa menjadi pilihan terakhir, dan hanya berlaku atas sebab yang serius.

“Kami tidak boleh memberikan sebarang penjelasan lanjut mengenai asas keputusan ini untuk melindungi keluarga dan anak-anak,” kata polis dalam satu kenyataan pada hari Sabtu.

Sebelum ini, beberapa pengguna media sosial mendakwa bahawa polis telah mengambil kanak-kanak itu daripada keluarganya selepas pihak sekolah melaporkan keluarga itu mengajar kanak-kanak tersebut bahawa transgenderisme serta LGBT tidak diterima dalam Islam. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button