Berita UtamaIstimewa

RM15.75 juta untuk sekolah persendirian Cina, kerajaan tunduk pada Dong Zong?

Gesa tak abaikan peruntukan kepada institusi pendidikan Islam swasta

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 10 SYAWAL 1444H, Isnin – Peruntukan besar kepada Sekolah Persendirian Cina seolah memberi makna Kerajaan Madani menyokong kewujudan dwi sistem pendidikan negara, kata Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Azizee Hassan.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook mengesahkan kerajaan meluluskan peruntukan RM15.75 juta untuk 63 sekolah persendirian Cina di seluruh negara.

Katanya, permohonan peruntukan itu dibuat Presiden Dong Zong, Tan Tai Kim dan ia diluluskan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan.

“Setiap sekolah menerima RM250,000. Ia akan disalurkan kepada sekolah terbabit, dua minggu selepas cuti Hari Raya,” kata Loke.

Mempersoal tindakan itu, Azizee berkata, kerajaan wajar mengutamakan peruntukan kepada sekolah aliran perdana berbanding sekolah persendirian.

“Masih banyak lagi sekolah aliran perdana yang memerlukan bantuan terutama dari sudut infrastruktur dan penyelenggaraan bangunan sekolah yang daif.

“Peruntukan besar kepada sekolah persendirian Cina bermakna kerajaan menyokong kewujudan dwi sistem pendidikan dan seolah-olah mmengiktiraf sistem pendidikan yang membenarkan sijil UEC,” katanya kepada Ismaweb.net.

Atas sebab itu, beliau menggesa kerajaan tidak mengabaikan peruntukan kepada institusi pendidikan Islam swasta.

“Ini kerana sistem pendidikan ini mengikuti sistem aliran perdana dan menyumbang besar kepada pendidikan negara.

“Terutama melahirkan generasi murid yang seimbang dari sudut duniawi dan ukhrawi serta menjadi benteng mempertahankan akidah Islam,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button