Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Harga runcit minyak sawit tulen botol kekal hingga 7 Jun

Tindakan akan diambil jika ada pihak jual melebihi harga maksimum

BANGI, 11 Syawal 1444H, Selasa – Kerajaan bersetuju mengekalkan harga runcit minyak masak sawit tulen dalam botol pada RM6.90 sekilogram, untuk tempoh 8 Mei hingga 7 Jun.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam kenyataan berkata, pengekalan harga itu turut membabitkan minyak masak dua kilogram (RM13.30), tiga kilogram (RM19.60) dan lima kilogram (RM30.90).

Kementerian berkata, terdapat kenaikan harga minyak sawit mentah untuk bulan April berbanding sebelumnya, yang telah melepasi RM4,000 per tan metrik.

“Kenaikan ini sekali gus akan menyebabkan berlakunya kenaikan harga runcit minyak masak tulen dalam botol berdasarkan kepada konsep harga siling bergerak.

“Bagaimanapun, bagi mengelakkan bebanan kepada rakyat dan pengguna, kerajaan dan industri bersetuju untuk mengekalkan harga runcit minyak masak sawit dalam botol untuk tempoh 8 Mei hingga 7 Jun 2023 dan perbezaan harga ditanggung oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

KPDN memaklumkan, pengekalan harga runcit minyak masak sawit dalam botol membabitkan pembayaran subsidi kepada pengilang-pengilang penapis secara tuntutan bayaran balik berdasarkan bilangan tuntutan sebenar.

Katanya, mana-mana pihak yang menjual melebihi harga maksimum boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan dikenakan penalti sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu, manakala denda sehingga RM500,000 untuk syarikat.

“KPDN akan meneruskan pemantauan di samping turut menggalakkan pengguna agar menjadi mata dan telinga kepada kerajaan untuk menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang di bawah bidang kuasa KPDN, termasuk harga runcit minya sawit tulen di pasaran secara rasmi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button