Dunia

India diancam gelombang haba luar biasa

Rekod suhu lebih 44 darjah Celsius, 13 kematian dilaporkan

NEW DELHI, 11 Syawal 1444H, Selasa – India perlu bersedia untuk berdepan fenomena gelombang haba luar biasa tidak lama lagi, kata jabatan meteorologi negara itu.

Sebahagian besar negara Asia – dari India, selatan China ke Thailand – berdepan gelombang haba luar biasa selama berminggu-minggu sejak awal tahun ini.

Walaupun April lazimnya antara bulan paling panas, 2023 menyaksikan negara termasuk Laos, Thailand dan Myanmar mengalami suhu tertinggi yang direkodkan antara 42 darjah Celsius hingga lebih 45 darjah Celsius.

Suhu di daerah Prayagraj di India dan negeri Odisha timur telah melebihi 44 darjah Celsius pada pertengahan April.

Sekurang-kurangnya 13 orang meninggal dunia dan 50 yang lain dirawat di hospital akibat strok haba di negeri Maharashtra barat.

Gelombang haba adalah perkara biasa antara Mac dan Julai di negara itu, namun musim panas menjadi luar biasa dan lebih lama dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

“Gelombang haba ini telah berlaku sejak empat atau lima tahun lepas kerana pemanasan global dan ini adalah gelombang haba yang luar biasa,” kata jabatan itu.

India dan Pakistan menyaksikan gelombang haba yang lebih buruk pada 2022, dengan suhu pada Mac merekodkan angka tertinggi sejak lebih 120 tahun lalu.

Jabatan Meteorologi India menjangkakan suhu dan gelombang haba melebihi purata sehingga akhir Mei ini. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button