Berita Utama

Isham Jalil kata Noh Omar pun kaki bodek

'Dulu UMNO angkat jadi wakil rakyat, kini umpama kacang lupakan kulit'

BANGI, 11 Syawal 1444H, Selasa – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil membidas kenyataan Tan Sri Noh Omar yang mendakwa UMNO kini hanya ditunjangi pemimpin kaki bodek.

Isham mendakwa, bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor itu juga pernah membodek kerana ingin menjadi menteri ketika pemerintahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dakwanya, Noh bukan hanya membodek Najib, bahkan pernah berbuat demikian kepada beliau yang ketika itu bekerja di Pejabat Perdana Menteri.

“Semalam Noh Omar kata orang UMNO kaki bodek. Setahu saya yang kaki bodek adalah Noh Omar.

“Dulu seingat saya semasa dia (Noh Omar) ingin jadi menteri, dia bodek PM Najib dan saya pun dia (Noh Omar) bodek, masa itu saya bekerja di Pejabat Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Isham berkata, Noh seolah-olah lupa dengan jasa UMNO terhadap beliau, hanya kerana ingin bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk melawan parti itu.

“Dulu UMNO yang angkat dia sebagai wakil rakyat sehingga jadi menteri. Kini hanya beberapa bulan selepas dia minta dipecat dari UMNO, dia sudah mula kutuk dan caci UMNO umpama kacang lupakan kulit.

“Hanya kerana dia ingin bertanding pilihan raya lawan UMNO. Saya ingin ingatkan Tan Sri Noh Omar, UMNO banyak berjasa kepada kamu, jangan lupa itu,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, Noh mendakwa UMNO kini hanya ditunjangi kaki bodek yang tewas pada pemilihan parti.

Beliau memetik dua nama ahli MKT UMNO iaitu Isham Jalil dan Datuk Lokman Nor Adam yang kalah dalam pemilihan bahagian parti, baru-baru ini.

Noh turut mengesahkan beliau akan bertanding dalam PRN atas tiket Perikatan Nasional (PN).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button