Berita Utama

Satu keluarga Malaysia masih terperangkap di Sudan

Usaha bawa keluar sedang diusahakan Task Force Ops Sudan

BANGI, 12 Syawal 1444H, Rabu – Satu keluarga warga Malaysia dilaporkan masih terperangkap di Sudan dan usaha memindahkan mereka sedang dilakukan secepat mungkin.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pihaknya memperoleh maklumat berkaitan keluarga tersebut yang terdiri daripada seorang ibu dan dua anaknya warga Malaysia bersama suami rakyat Sudan.

“Maklumat diterima melalui Facebook Messenger Kedutaan Malaysia di Sudan. Keluarga ini tidak pernah berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum.

“Bagaimanapun, usaha membawa mereka keluar dari Sudan sedang diusahakan oleh Task Force Ops Sudan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ketika ini, keluarga tersebut sedang dalam perjalanan menuju ke Port Sudan dan dijangka tiba hari ini.

Kementerian juga memohon bantuan Kerajaan Arab Saudi serta Kedutaan Besar Pakistan di Sudan supaya keluarga tersebut dapat menaiki kapal untuk membawa mereka keluar dari Port Sudan ke Jeddah dalam masa terdekat.

“Insya-Allah kita sama-sama doakan usaha ini dipermudahkan dan mereka akan selamat tiba di tanah air nanti,” kata Zambry.

Selain keluarga berkenaan terdapat dua lagi rakyat Malaysia berada di Sudan iaitu Mejar Zazalina Ghazali dan Lt. Kdr. Naadifarin Che Kamaruddin kini sedang menyertai misi United Nations Interim Security Force for Abyei (UNISFA) di wilayah Abyei, Sudan.

Bagaimanapun kedua-duanya berada dalam keadaan selamat kerana setakat ini wilayah Abyei tidak terjejas teruk oleh pertempuran di Sudan.

Sebelum ini, 30 rakyat Malaysia di Sudan berjaya dibawa pulang ke tanah air menggunakan penerbangan Saudi Airlines pada 28 April lalu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button