Siti Bainun bersalah aniaya Bella
Pengasas Rumah Bonda gagal timbul sebarang keraguan munasabah dalam kes

KUALA LUMPUR, 12 Syawal 1444H, Rabu – Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja Sindrom Down dikenali sebagai Bella.
Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi berkata, bukan sahaja pembelaan tertuduh sukar dipercayai dan mahkamah tidak dapat menerimanya, Siti Bainun juga gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah dalam kes itu.
“Justeru saya mendapati tertuduh bersalah atas pertuduhan pertama dan kedua,” katanya di sini pada Rabu.
Susulan itu, hakim memberi peluang kepada peguam bela Siti Bainun, Mohammad Farhan Maaruf, untuk merayu sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh.
Prosiding sedang berjalan dengan kedua-dua pihak memberikan penghujahan mengenai hukuman, lapor The Star.
Seramai 22 saksi pendakwaan memberi keterangan dalam perbicaraan di peringkat pendakwaan yang bermula 30 Mac 2022.
Ia termasuk seorang bekas penghuni Rumah Bonda Yasmin Nahar Mahmood; pakar psikiatri, Dr Wan Asyikin Wan Azlan, penolong pengurus sebuah syarikat swasta, Zurianty Sudin dan pakar bedah plastik, Dr Salmi Mohamed Shukur.
Pada 24 November, mahkamah memerintahkan Siti Bainun membela diri atas dua pertuduhan mengabai dan mendera seorang kanak-kanak perempuan Sindrom Down berusia 13 tahun, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Siti Bainun pada akhir kes pendakwaan.
Siti Bainun didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.
Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, Zilfinaz Abbas, Zahida Zakaria, Fazeedah Faik dan Shakira Aliana Alias manakala peguam Datuk Khairul Anwar Rahmat, Datuk Baljit Singh Sidhu, Datuk Ikbal Salam dan Mohd Radzi Yatiman dilantik oleh Tengku Mahkota Tunku Johor Ismail Sultan Ibrahim untuk terus memantau kes itu.