Amal langkah berjaga, elak mudarat akibat cuaca panas melampau
Wanita perlu kurangkan solekan, khuatir bahan dalam produk kosmetik sekat aliran peluh

BANGI, 13 Syawal 1444H, Khamis – Rakyat Malaysia perlu amalkan langkah berjaga-jaga bagi memastikan badan kekal sihat tanpa sebarang penyakit berikutan cuaca panas melampau yang melanda negara.
Pensyarah Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan UPM, Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman berkata, rakyat Malaysia harus berwaspada terhadap tanda awal strok haba atau kejutan suhu panas berikutan cuaca panas dan kering ketika ini.
Beliau menasihatkan agar aktiviti di luar rumah dikurangkan kerana golongan yang terdedah dengan cahaya matahari berisiko terkena strok haba.
“Namun, jika perlu berada di luar bangunan atau rumah, mereka dinasihatkan memakai pakaian longgar, nipis, berwarna terang dan diperbuat daripada kain kapas atau linen kerana membantu meresap haba dan peluh, selain menggunakan cermin mata hitam, topi dan payung besar untuk perlindungan matahari serta kerap mandi untuk menyejukkan badan,” katanya.
Beliau berkata, setiap individu terutama orang dewasa perlu minum sekurang-kurangnya enam gelas air tanpa mengira tahap aktiviti bagi menggantikan air yang hilang akibat terhidrat sama ada berpeluh atau membuang air kecil.
“Minum minuman isotonik atau air kelapa juga digalakkan kerana boleh menggantikan garam dan mineral yang hilang ketika berpeluh.
“Makan lebih kerap, tetapi sedikit kerana makan dalam kuantiti banyak, terutama tinggi kadar karbohidrat menaikkan kadar metabolisme dan membuatkan badan terasa panas,” katanya.
Beliau juga berkata, golongan wanita perlu mengurangkan solekan ketika berada di luar rumah kerana dikhuatiri terdapat bahan dalam produk kosmetik yang menyekat aliran peluh, sekaligus menyebabkan rasa panas pada bahagian muka.
“Strok haba hingga mengakibatkan kematian jarang berlaku di Malaysia, tetapi dalam keadaan cuaca panas, masyarakat perlu berhati-hati kerana ia boleh berlaku kepada sesiapa, terutama golongan berisiko,” katanya.