Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Dunia

AS luluskan vaksin RSV pertama di dunia

Sasar golongan dewasa berumur 60 tahun ke atas

WASHINGTON, 13 Syawal 1444H, Khamis – Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) meluluskan vaksin pertama di dunia untuk virus sinsitium pernafasan (RSV), menurut agensi berita Channel News Asia (CNA).

Pengeluar ubat Britain, GlaxoSmithKline (GSK) diberi ‘lampu hijau’ untuk mengeluarkan vaksin Arexvy kepada golongan dewasa berusia 60 tahun ke atas, memberi gambaran bahawa pembuat lain termasuk Pfizer dan Moderna, dijangka menyusul tidak lama lagi.

“Kelulusan vaksin RSV pertama hari ini adalah pencapaian kesihatan awam yang penting untuk mencegah penyakit yang boleh mengancam nyawa,” kata Pegawai Kanan Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) AS, Peter Marks dalam satu kenyataan.

Vaksin GSK telah diluluskan berdasarkan kajian terhadap 25,000 orang berumur 60 tahun ke atas yang menunjukkan satu dos memberikan 83 peratus keberkesanan terhadap penyakit yang disebabkan oleh RSV, dan lebih daripada 94 peratus berkesan terhadap penyakit yang teruk.

Penyelidik akan terus mengikuti sukarelawan dalam kajian untuk menilai tempoh perlindungan serta keselamatan dan keberkesanan lebih banyak dos.

RSV ialah virus yang menyebabkan jangkitan paru-paru dan saluran pernafasan.

Virus itu biasanya menyebabkan simptom ringan seperti selesema, namun berisiko menjadi serius kepada bayi dan warga emas serta golongan yang mempunyai imun lemah.

Dalam kes yang lebih teruk, ia boleh juga menyebabkan radang paru-paru dan keradangan saluran udara kecil atau brochiolitis.

Ketua Pegawai Saintifik GSK, Tony Wood berkata, keputusan itu menandakan titik perubahan dalam usaha untuk mengurangkan beban besar kepada penularan virus RSV.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS, RSV membawa kepada kira-kira 60,000 hingga 120,000 kemasukan ke hospital dan 6,000 hingga 10,000 kematian dalam kalangan orang dewasa berumur 65 tahun ke atas.

Kadar jangkitan RSV dan selesema menurun ketika penutupan COVID-19, namun kembali melonjak apabila sekatan ditarik balik dengan kanak-kanak kecil paling terjejas teruk. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button