Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Kanak-kanak 8 tahun di Pahang bukan alami strok haba

Pesakit dijangkiti virus pada otak, berada dalam keadaan stabil

BANGI, 13 Syawal 1444H, Khamis – Jabatan Kesihatan Negeri Pahang memaklumkan berita tular mendakwa seorang kanak-kanak lelaki dari Pulau Tioman, Rompin disyaki mengalami strok haba adalah tidak benar.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Indera Dr Nor Azimi Yunus berkata, kanak-kanak berumur 8 tahun itu disahkan mengalami Meningoencephalitis iaitu jangkitan virus pada otak.

Beliau berkata, pesakit kini dalam keadaan stabil dan dimasukkan ke Wad Kanak-Kanak Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan selanjutnya.

“Jabatan Kesihatan Negeri Pahang merujuk kepada kenyataan tular di media sosial berkaitan terdapat satu kes kanak-kanak yang disyaki mengalami strok haba dari daerah Rompin.

“Adalah dimaklumkan bahawa hasil siasatan mendapati pada 3 Mei 2023 jam 11.45 malam, satu kes telah dirujuk dari Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman ke HTAA melalui Mercy Flight TUDM dengan diagnosis Meningitis iaitu jangkitan kuman di otak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Nor Azimi berkata, kanak-kanak terbabit mendapatkan rawatan dengan simptom sawan setelah mengalami demam, muntah dan keletihan selama dua hari sebelumnya.

Katanya, pesakit seterusnya dirawat di Jabatan Kecemasan HTAA dan menjalani siasatan melalui CT Scan, pengambilan darah serta diberikan rawatan selanjutnya.

“Maklumat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia, suhu harian bagi negeri Pahang adalah kurang dari 35 darjah Celsius dan masih terkawal.

“Jabatan Kesihatan Negeri Pahang ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan berlaku kesan kesihatan berikutan cuaca panas,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button