Konflik Sudan: Letupan kedengaran meski gencatan senjata di Khartoum
Pertempuran terus berlaku antara pihak tentera, RSF

KHARTOUM, 13 Syawal 1444H, Khamis – Satu letupan kuat dilaporkan berhampiran istana presiden di ibu negara Sudan, Khartoum, semalam.
Seorang saksi mata memberitahu, kepulan asap dilihat naik dari kawasan itu berikutan letupan tersebut.
Tiada butiran lanjut mengenai insiden itu, namun letupan berlaku di tengah-tengah pertempuran baharu antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) walaupun pelaksanaan gencatan senjata selama 7 hari.
Letupan dan senjata antipesawat juga kedengaran di bandar Bahri, utara Khartoum, kata saksi.
Sekurang-kurangnya 550 orang terbunuh dan lebih 4,900 cedera dalam pertempuran antara tentera Sudan dan RSF sejak 15 April, kata Kementerian Kesihatan Sudan.
Perselisihan faham timbul sejak beberapa bulan kebelakangan ini antara pihak tentera dan RSF mengenai integrasi pasukan separa tentera tersebut ke dalam angkatan bersenjata, berikutan syarat utama yang ditetapkan dalam perjanjian peralihan Sudan dengan kumpulan politik.
Sudan tidak mempunyai kerajaan yang berfungsi sejak Oktober 2021, apabila tentera memecat kerajaan peralihan Perdana Menteri, Abdalla Hamdok dan mengisytiharkan darurat dalam satu tindakan yang dikecam oleh kuasa politik sebagai rampasan kuasa.
Tempoh peralihan Sudan, yang bermula pada Ogos 2019 selepas penyingkiran Presiden Omar al-Bashir, dijadualkan berakhir dengan pilihan raya pada awal 2024. – Agensi