Pemimpin Yahudi mahu Arab Saudi benar penerbangan terus jemaah haji Israel
Tel Aviv yakin boleh bentuk hubungan baik dengan Riyadh

TEL AVIV, 13 Syawal 1444H, Khamis – Negara haram Israel mengharapkan pihak berkuasa Arab Saudi akan membenarkan penerbangan terus untuk warganya yang beragama Islam menunaikan ibadah haji, bulan depan.
Menteri Luar Israel, Eli Cohen berkata, permohonan itu telah dikemukakan dan perkara berkenaan juga sedang dibincangkan.
“Saya tidak boleh memberitahu anda jika terdapat sebarang perkembangan. Tetapi saya optimis bahawa kita boleh membentuk hubungan baik dengan Arab Saudi,” katanya dalam temubual dengan Radio Tentera Israel.
Berjuta-juta umat Islam dari seluruh dunia melakukan perjalanan setiap tahun ke Makkah untuk menunaikan ibadah haji.
Bekas Perdana Menteri Israel, Yair Lapid pada Mac mendakwa, bahawa dia telah mendapatkan persetujuan Arab Saudi untuk melakukan penerbangan terus, bagaimapun perkara itu belum disahkan Riyadh.
Umat Islam dari Israel dan Palestin kini mengembara ke Arab Saudi melalui negara ketiga.
Sejak 2020, Arab Saudi telah membenarkan syarikat penerbangan Israel menggunakan ruang udaranya untuk perjalanan ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain – negara yang telah menormalkan hubungannya dengan Tel Aviv.
Israel dan Arab Saudi tidak mempunyai hubungan diplomatik, namun kedua-duanya telah melihatkan usaha ke arah itu sejak 2020 sebagai sebahagian daripada desakan Amerika Syarikat (AS) untuk Israel berdamai dengan negara-negara jirannya di Teluk.
Sebelum ini, Arab Saudi menegaskan bahawa matlamat kenegaraan Palestin harus ditangani terlebih dahulu, dan Riyadh sehingga kini tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara. – Agensi