Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Semua sekolah perlu ikut kurikulum kebangsaan, termasuk SMPC

Usaha capai perpaduan, integrasi kaum melalui silibus seragam di sekolah

Oleh Muhammad Danial Haziq

BANGI, 13 Syawal 1444H, Khamis – Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) mahu Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) menerapkan kurikulum kebangsaan di dalam silibus pendidikan mereka.

Setiausaha Agung BERJASA, Zulkifli Yahya berkata, pihak kerajaan seharusnya meletakkan kesemua 63 buah SMPC di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

Beliau memberi contoh Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) yang diletakkan di bawah KPM pada tahun 2015 bagi mendapatkan peruntukan.

“Jika kita boleh buat pada sekolah agama ini, mengapa kita tidak boleh buat pada sekolah-sekolah SMPC juga?

“Ambil sekolah-sekolah SMPC sebanyak 63 buah ini dan kita beri peruntukan menggunakan kurikulum kebangsaan dan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

“Kita sudah merdeka begitu lama, tetapi mengapa masih lagi wujud dua sistem pendidikan yang berbeza iaitu sistem pendidikan kebangsaan, dan sistem pendidikan SMPC sedangkan mereka ini tidak ada termaktub dalam mana-mana perlembagaan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, guru-guru dari SMPC boleh dihantar menjalani latihan dan kemudian diserap masuk di bawah KPM agar mereka menggunakan satu pendidikan yang sama.

“Kita memastikan bahawa anak-anak murid yang belajar di SMPC juga mendapat pendidikan yang sama kualitinya seperti sekolah-sekolah kerajaan.

“Jadi, sudah sampai masanya anak-anak di Malaysia ini kita letakkan di bawah satu sistem pendidikan yang sama, kurikulum yang sama, dan bahasa pengantar yang sama,” tambahnya.

Pada 20 April lalu, kerajaan meluluskan bantuan khas RM15.75 juta kepada 63 SMPC di seluruh negara.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, setiap sekolah akan menerima bantuan RM250,000 yang akan diberikan dua minggu selepas cuti Hari Raya Aidilfitri, dengan majlis penyerahan rasmi pada 5 Mei ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button