Berita UtamaDunia

190 kanak-kanak maut, 1,700 cedera dalam konflik Sudan: UNICEF

Seru pihak bertelagah agar patuhi undang-undang antarabangsa

NEW YORK, 14 Syawal 1444H, JumaatPertempuran di Sudan membunuh 190 kanak-kanak dan menyebabkan 1,700 lagi cedera, menurut agensi kanak-kanak PBB, UNICEF.

Negara Afrika yang dilanda konflik itu diselubungi keganasan selama berminggu-minggu berikutan pertempuran antara tentera dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF).

”Keadaan di Sudan hampir-hampir ke arah malapetaka, dan kanak-kanak semakin terperangkap dalam pertempuran,” Agensi Anadolu memetik UNICEF dalam satu kenyataan.

”Kanak-kanak hidup di tengah-tengah keganasan menakutkan selama hampir tiga minggu, dan banyak keluarga kini berpindah ke tempat selamat di Sudan dan negara jiran.

“Kakitangan kemanusiaan juga diserang, manakala kemudahan kemanusiaan, kenderaan dan bekalan termasuk kepada UNICEF sama ada dirampas atau dimusnahkan,” katanya.

UNICEF berkata, serangan itu menjejaskan keupayaan agensi untuk sampai kepada kanak-kanak di negara dengan perkhidmatan kesihatan, pemakanan, air dan sanitasi yang serba kekurangan.

Agensi itu juga menyeru pihak bertelagah di Sudan agar mematuhi undang-undang antarabangsa dengan memastikan bahawa petugas kemanusiaan boleh beroperasi dengan selamat di lapangan untuk membantu orang awam yang memerlukan, menurut laporan itu.

Pertempuran baru-baru ini mengakibatkan sekurang-kurangnya 550 orang terbunuh manakala lebih 5,000 cedera. Ia juga memaksa lebih 100,000 penduduk melarikan diri ke negara jiran. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button