China berhati-hati hadapi perluasan kuasa NATO di Asia
Dakwa rancangan buka pejabat di Tokyo ancam kestabilan serantau

BEIJING, 14 Syawal 1444H, Jumaat – China menegaskan akan lebih berhati-hati dalam menghadapi perluasan kuasa Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), yang berhasrat mahu membuka pejabat pertama di Asia.
NATO merancang membuka pejabat perhubungan di Jepun bagi memudahkan perbincangan dengan rakan kongsi keselamatan, seperti Korea Selatan, Australia dan New Zealand.
Jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning berkata, Asia adalah kawasan yang menjanjikan untuk bekerjasama dan pembangunan, namun tidak seharusnya menjadi lokasi pertempuran geopolitik.
“Perluasan kuasa NATO yang berterusan ke arah timur di Asia Pasifik dan campur tangan dalam hal ehwal serantau merupakan percubaan untuk musnahkan keamanan dan kestabilan serantau,” katanya.
Sebelum ini, Nikkei Asia melaporkan, NATO dijangka membuka pejabatnya di Tokyo yang dijangka pada tahun depan.
Bagaimanapun, jurucakap NATO, Oana Lungecu menjelaskan pihaknya belum bersedia memperincikan perbincangan berkaitan rancangan pembukaan pejabat baharu itu.- Agensi