Berita Utama

Cuaca panas: Semua institusi bawah KPM perlu tangguh aktiviti luar

Ini termasuk rentas desa, perkhemahan dan PdP luar bilik darjah

BANGI, 14 Syawal 1444H, Jumaat – Kementerian Pendidikan (KPM) meminta semua institusi di bawahnya memberikan kerjasama untuk menangguhkan semua aktiviti luar membabitkan guru dan murid ekoran faktor cuaca panas.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, beliau mengambil maklum kebimbangan semua pihak, terutama ibu bapa berkenaan pelaksanaan aktiviti luar seperti sukan dan merentas desa ketika cuaca panas.

“Mengambil kira cuaca panas dan kering berpanjangan yang sedang melanda negara, institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diminta menangguhkan semua aktiviti luar yang melibatkan murid dan guru/pensyarah.

“Ini termasuk merentas desa, kawad, sukan dan permainan, perkhemahan serta aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) luar bilik darjah,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Jumaat.

Sehubungan itu, Fadhlina menghargai segala usaha dan keprihatinan seluruh warga KPM khususnya pentadbir di peringkat daerah serta sekolah dalam memastikan kesihatan dan kesejahteraan murid sentiasa menjadi keutamaan.

Semalam, KPM telah mengeluarkan pekeliling berhubung larangan sebarang aktiviti luar bagi mengelak serangan strok haba.

Pekeliling berkenaan berkuat kuasa serta-merta dan mesti dipatuhi semua guru besar serta pengetua sekolah di seluruh negara.

Katanya, larangan itu turut meliputi garis panduan baharu ditetapkan KPM selepas memberi kelonggaran pemakaian pakaian sukan sebelum ini.

Malah, KPM juga memberi kebenaran khas kepada murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana di semua institusi pendidikan di bawahnya untuk memakai pakaian atau baju sukan yang sopan ketika cuaca panas, bagi mengelak sebarang komplikasi kepada kesihatan.

Pemakaian tali leher juga tidak diwajibkan bagi murid yang memakai pakaian seragam sekolah, termasuk membenarkan penutupan sekolah sekiranya cuaca panas berada pada tahap amaran 2 dengan suhu tertinggi melebihi 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button