Anwar cabar pembangkang kemuka usul undi tak percaya
Jangan sabotaj kerajaan, PM beri amaran ambil tindakan tanpa kompromi

BUKIT MERTAJAM, 15 Syawal 1444H, Sabtu – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar pihak yang mahu menjatuhkan Kerajaan Persekutuan supaya mengemukakan usul undi tidak percaya terhadapnya pada persidangan Parlimen 22 Mei akan datang.
Ahli Parlimen Tambun itu berkata, beliau perlu menghentikan perbincangan mengenai konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan, yang boleh mensabotaj dan menjejaskan kestabilan pentadbiran persekutuan.
“Saya cabar mereka yang mahu jatuhkan kerajaan perpaduan, saya akan berdepan dengan anda semua, bawa usul semasa persidangan Parlimen tetapi dengan satu syarat – biarlah ini yang terakhir supaya kita boleh fokus membangunkan negara,” katanya.
Beliau turut memberi amaran kepada pembangkang supaya tidak mensabotaj Kerajaan Persekutuan dan menegaskan pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya tanpa kompromi.
Anwar berkata, beliau memilih untuk berdepan dengan pembangkangnya di Parlimen, tidak seperti perdana menteri sebelum ini.
Tegasnya, kerajaan perpaduan yang diterajuinya masih kukuh dengan sokongan 148 Ahli Parlimen dan menegaskan kerajaan masih utuh.
Anwar merujuk kepada laporan sebuah portal bahawa sekumpulan Ahli Parlimen Barisan Nasional yang sebelum ini menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) terlibat dalam komplot untuk menggulingkan kerajaan perpaduan.
Pada 25 April, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, yang merupakan daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), menafikan sebarang hasrat untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar.
Beliau berkata, pemimpin GPS, termasuk Perdana Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan beliau sendiri, telah berulang kali menjelaskan bahawa keutamaan mereka adalah kestabilan politik.
Pada 28 April lalu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang juga Setiausaha Agung Pakatan Harapan, berkata, kerajaan perpaduan masih utuh dan berfungsi.
Beliau secara terang-terangan menolak ancaman yang dikhabarkan untuk menjatuhkan dan memecat Anwar.