Berita Utama

Pembahagian kerusi DUN BN, PH hampir selesai

Keputusan rundingan dimaklum pada Anwar esok

ALOR GAJAH, 15 Syawal 1444H, Sabtu –  Proses pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Barisan Nasional dan Pakatan Harapan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri hampir selesai.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, proses pembahagian itu berjalan dengan baik antara pemimpin kedua-dua pihak bagi mengelak berlakunya pertembungan.

Katanya, keputusan rundingan di peringkat negeri itu akan turut dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada mesyuarat Ahad ini.

“Setakat ini persiapan kami adalah untuk menentukan kerusi-kerusi yang akan diagihkan dan di peringkat negeri-negeri, Insya-Allah ia telah hampir selesai perundingan di antara BN dan PH.

“Semua keputusan negeri-negeri akan dibawa ke parti masing-masing sebelum diadakan perundingan di peringkat nasional untuk kita memuktamadkan pembahagian terutamanya kerusi-kerusi,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan.

Ahmad Zahid berkata, Anwar akan mengadakan mesyuarat untuk melakukan penyelarasan aktiviti parti-parti dalam kerajaan perpaduan termasuk mendengar persiapan untuk pilihan raya di enam buah negeri.

“Kami memandang penting PRN ini kerana ia merupakan manifestasi terhadap pengiktirafan kepada Kerajaan Perpaduan memimpin negara keseluruhannnya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button