Berita Utama

Penangguhan aktiviti luar kelas hanya sementara

Sekolah diminta patuh arahan KPM hingga cuaca selamat untuk murid

BANGI, 16 Syawal 1444H, Ahad – Penangguhan semua aktiviti di luar bilik darjah hanyalah bersifat sementara, bagi mengelakkan murid diserang strok haba ekoran keadaan cuaca panas.

Justeru, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengulangi arahannya supaya semua sekolah di seluruh negara tidak menganjurkan aktiviti di luar bilik darjah, sehinnga keadaan cuaca benar-benar selamat untuk murid dan pelajar menjalankan program di luar kelas.

Beliau berkata, walaupun cuaca di negeri tertentu semakin baik, Kementerian Pendidikan (KPM) menjalankan pemantauan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).

“Sebenarnya, kita juga sudah mengadakan sesi libat urus bersama seluruh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan meminta dan memberikan panduan kepada mereka serta menasihatkan supaya tidak menganjurkan program atau aktiviti di luar kelas ketika cuaca panas.

“Jadi kita akan pantau dari semasa ke semasa dan sentiasa beri pedoman, garis panduan serta nasihat daripada kementerian berkaitan,” katanya seperti dilapor Berita Harian (BH), hari ini.

Fadhlina berkata, sehingga kini tiada sekolah ditutup memandangkan keadaan masih selamat dan kesiapsiagaan KPM berdepan isu terbabit.

“Kita sentiasa berjaga-jaga dalam hal ini, sebab itu kita minta minta tangguhkan sebentar sehingga cuaca kembali sedia kala dan pelajar kita boleh mengikuti pembelajaran di luar kelas dengan lebih selamat,” katanya.

Sebelum ini, KPM telah mengeluarkan pekeliling berhubung larangan sebarang aktiviti luar bagi mengelak serangan strok haba.

Pekeliling berkenaan berkuat kuasa serta-merta dan mesti dipatuhi semua guru besar serta pengetua sekolah di seluruh negara.

Katanya, larangan itu turut meliputi garis panduan baharu ditetapkan KPM selepas memberi kelonggaran pemakaian pakaian sukan sebelum ini.

Malah, KPM juga memberi kebenaran khas kepada murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana di semua institusi pendidikan di bawahnya untuk memakai pakaian atau baju sukan yang sopan ketika cuaca panas, bagi mengelak sebarang komplikasi kepada kesihatan.

Pemakaian tali leher juga tidak diwajibkan bagi murid yang memakai pakaian seragam sekolah, termasuk membenarkan penutupan sekolah sekiranya cuaca panas berada pada tahap amaran 2 dengan suhu tertinggi melebihi 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button