Berita Utama

Sekat wang FSA2, tapi kenapa diluluskan meski peminjam bankrap?

Anwar dituntut perjelas dasar songsang, aniaya rakyat sedang susah

BANGI, 16 Syawal 1444H, Ahad – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dituntut memberikan penjelasan berhubung kelemahan Skim Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), yang didakwa menganiaya pemohon berstatus bankrap.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, pihaknya menerima aduan daripada pencarum yang pada awalnya mendapat kelulusan i-Cagar FSA2 KWSP, namun tidak dapat mengeluarkan pinjaman kerana berstatus bankrap.

Beliau berkata, sehingga hari ini peminjam terbabit masih tidak boleh mengeluarkan kesemua pinjaman yang diluluskan meskipun wang sudah dimasukkan ke akaun peribadi mereka.

“Malahan, ada di antara mereka yang menerima SMS daripada MBSB Bank mengarahkan mereka mendapatkan surat pelepasan daripada Jabatan Insolvensi dan jika tidak, pinjam mereka akan dibatalkan walaupun dana telah dimasukkan ke akaun bank mereka.

“Bagaimanapun boleh wujud satu keadaan yang mana pinjaman telah diluluskan, dana telah dimasukkan dalam akaun peribadi, tapi peminjam tidak dibenarkan membelanjakan wang itu?

“Kalau mereka ini tidak layak sebab bankrap, kenapa permohonan diluluskan? Bukan saja lulus, malahan duit pun dah masuk ke akaun peribadi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Atas sebab itu, bekas Ketua Penerangan Bersatu itu mendakwa, skim berkenaan sebagai menyusahkan dan menganiaya rakyat.

Lebih buruk lagi, beliau dimaklumkan bahawa peminjam dikenakan kadar faedah sebanyak 4.5 peratus untuk tempoh sembilan tahun, dengan jumlah bayaran balik RM35,601 iaitu dua kali ganda daripada pinjaman RM18,000.

“Daripada seorang yang elok-elok ada wang dalam akaun KWSP sendiri, akibat polisi Anwar Ibrahim, dia kini berhutang RM35,000 dan wang KWSP sendiri telah dicagar.

“Saya gesa Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan dan Perdana Menteri beri penjelasan kenapa pentadbiran beliau amat cacar marba dan huru-hara sehingga rakyat yang susah dianiaya sebegini,” katanya.

Justeru, Wan Saiful menggesa Anwar menjelaskan bagaimana mereka yang bankrap boleh menerima kelulusan pinjaman, selain menuntut jaminan untuk tidak mengenakan sebarang caj pada pinjaman yang dibatalkan.

Beliau turut menuntut Anwar menjamin peminjam yang telah mengeluarkan pinjaman tidak dipaksa memulangkan wang dengan zalim, selain menjelaskan rasional kerajaan memaksa pencarum menambah hutang sehingga jumlah bayaran balik berganda serta membebankan.

“Sebenarnya yang paling baik ialah Anwar akui dia telah tersilap dengan FSA2 i-Cagar. Ubah saja kepada pengeluaran KWSP bersasar seperti yang saya gesa sebelum ini.

“Itu adalah penyelesaian lebih tepat dan tidak menambah hutang pencarum. Jika Anwar tidak dapat terima hakikat bahawa dasar songsang yang dia bawa ini menyusahkan rakyat, lebih baik Anwar letak sahaja jawatan Menteri Kewangan dan berikan kepada orang yang lebih kompeten,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button