Berita Utama

Hadkan perbelanjaan pada pilihan raya mampu kurangkan rasuah

Sogokan boleh dikurangkan jika orang ramai guna kamera untuk rekod, lapor

BANGI, 17 Syawal 1444H, Isnin – Langkah penjimatan perbelanjaan pada pilihan raya boleh dikawal dengan menghadkan pemasangan bendera dan sepanduk, yang sekali gus mengurangkan risiko rasuah.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sekiranya kerajaan mahu menghapuskan rasuah, cara terbaik ialah dengan menghadkan perbelanjaan oleh parti semasa pilihan raya.

“Jika jumlah bendera atau sepanduk dihadkan bagi satu-satu kawasan yang ditandingi, perbelanjaan juga boleh dikurangkan.

“Katakan jika parti letak calon dalam satu kawasan, hanya 100 bendera, 20 sepanduk dan dua papan iklan dibenarkan jadi kos kempen tidak terlalu tinggi, saingan antara parti yang kaya dan miskin juga jadi lebih adil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berpandangan, sogokan juga mampu dikurangkan sekiranya orang ramai menggunakan kamera untuk rekod dan lapor.

Malah, pihak polis juga boleh menggunakan kamera selain dipraktis oleh anggota badan pencegah rasuah.

Beliau turut mencadangkan jika terdapat tiga kes sogokan, pencalonan parti berkenaan perlu dibatalkan.

“Memang sogokan kepada pengundi boleh disembunyi tetapi amalan sogokan secara terbuka seperti yang berlaku ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan dikurangkan, sedikit sebanyak ia berkesan dalam pengurangan sogokan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button