PAS Selangor sahkan terima permohonan pemimpin politik sertai parti
Enggan dedahkan identiti tokoh berkenaan buat masa sekarang

BANGI, 17 Syawal 1444H, Isnin – Beberapa nama bekas pemimpin politik dilaporkan telah membuat permohonan untuk menyertai PAS.
Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi bagaimanapun enggan mendedahkan identiti tokoh berkenaan.
Ini kerana, keputusan sama ada mereka diterima menjadi ahli PAS atau akan diputuskan oleh kepimpinan PAS Pusat.
Pun begitu, katanya, pengumuman mengenainya akan diadakan dalam satu majlis pada waktu terdekat.
“Ada (terima permohonan bekas pemimpin politik) tetapi saya tidak boleh sebut ketika ini kerana hal ini adalah rahsia.
“(Sekiranya permohonan tokoh politik diterima) kami akan buat pengumuman nanti,” katanya seperti dilapor media tempatan.
Sementara itu, Tan Sri Annuar Musa enggan mengulas mengenai kenyataan Setiausaha PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa beliau akan menyertai PAS.
“Belum masanya untuk saya ulas perkara ini,” katanya ringkas.
Sebelum ini, Takiyiddin berkata, beberapa nama besar adalah antara lebih 20 bekas pemimpin dan ahli UMNO dijangka menyertai PAS tidak lama lagi.