Program Makanan Sedunia terpaksa ditangguh tak cukup dana
Jejaskan penduduk miskin di Gaza, Tebing Barat

GAZA, 17 Syawal 1444H, Isnin – Bantuan Program Makanan Sedunia (WFP) yang memberi manfaat kepada kira-kira 200,000 penduduk Palestin akan ditangguhkan mulai bulan depan.
Pengarah WFP di Palestin, Samer Abdeljaber berkata, penangguhan bantuan berikutan kekurangan dana yang teruk dan dijangka menjejaskan 60 peratus daripada keseluruhan kes dari Jun.
“WFP memahami implikasi daripada keputusan, namun tidak dapat dielakkan meskipun ribuan penduduk bergantung kepada bantuan makanan untuk mendapat keperluan asas.
“Situasi berkenaan semestinya memberi kesan terutama di Gaza dan Tebing Barat, berikutan faktor ketiadaan makanan dan kemiskinan yang tinggi,” katanya.
Bagaimanapun Samer berkata, WFP akan terus mengagihkan bantuan kepada 140,000 penduduk Gaza dan Tebing Barat, bagi menyelamatkan golongan rentan yang tidak berkemampuan untuk mendapat akses makanan.
Sebelum ini, WFP yang merupakan program anjuran Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menawarkan baucar bulanan bernilai $10.30 (RM45.70) dan bakul makanan kepada warga Palestin.
Gaza memiliki populasi seramai 2.3 juta orang dan 45 peratus daripadanya menganggur selain 80 peratus bergantung sepenuhnya kepada bantuan antarabangsa.
Sementara itu, ribuan penduduk Palestin mengadakan perhimpunan aman di luar pejabat WFP di Gaza kerana membantah keputusan berkenaan. – Agensi