Rakyat susah hati, OPR naik pinjaman makin bertambah
BNM tekad lawan inflasi, masyarakat perlu tabah urus kewangan

Oleh Muhammad Danial Haziq
BANGI, 17 Syawal 1444H, Isnin – Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 3.00 peratus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.
Rata-rata rakyat gelisah dan menganggap kenaikan OPR kali kelima sejak 11 Mei tahun lalu membebankan ramai peminjam terutama golongan B40 dan M40.
Segelintir netizen berkongsi bahawa kenaikan kadar OPR menyebabkan peningkatan dalam perbelanjaan bulanan mereka.
“Kesan OPR ni monthly payment naik jadi kena susun semula struktur kewangan,” ujar Muhamamd Syazani.
“Yang kaya akan semakin kaya, yang biasa- biasa akan kekal seperti itu sahaja. Kesimpulannya, berusaha lebih la untuk survive di dunia ini,” kata Aiman Azam.
“Semenjak OPR naik, nak beli barang keperluan pun dah tak mampu. Kalau naik, macam mana nasib kita tahun akan mendatang. Mungkin tak larat lagi bayar loan bank atau isytihar muflis. Sangat menakut kan OPR ni,” kata Zainuddin Jiren.
“OPR naik bukan sebab inflasi semata-mata, foreign investor tak nak melabur di Malaysia, buat apa datang sini kalau US punya rate lagi tinggi dari Malaysia ? Sebab itu BNM kena naikkan OPR,” kata Muez Abdul.
Meskipun begitu, ada yang berpendapat, kenaikan OPR dipengaruhi kadar inflasi yang berlaku di seluruh dunia, hakikatnya tiada perkara yang boleh dilakukan untuk menghalang kenaikan kadar OPR.
Pemilik akaun Facebook, Firdaus Taib berkata, tindakan kerajaan menaikkan kadar OPR adalah satu tindakan yang perlu bagi melawan inflasi.
“Bagus tindakan BNM naikkan OPR untuk lawan inflasi, tapi risau juga sebab ia menunjukkan betapa teruknya keadaan ekonomi dunia sekarang,” katanya.
“Kalau dalam keadaan biasa memang kenaikan OPR ni tiada kesan sangat dekat masyarakat, tapi disebabkan PKP dan COVID sebelum ni ramai masih lagi ‘struggle’ termasuklah saya sendiri,” kata Muhammad Siddiq.
Pertumbuhan ekonomi dijangka menjadi sederhana pada tempoh suku akan datang iaitu kepada 4.8 peratus bagi suku pertama 2023 dan 4.0 peratus pada suku kedua, daripada 7.0 peratus pada suku terakhir 2022.
Kenaikan OPR sangat membimbangkan rakyat terutamanya mereka yang terjejas teruk sepanjang pandemik Covid-19, namun ada juga segelintir yang memahami tindakan BNM berbuat sedemikian.
BNM bagaimanapun yakin pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal agak akomodatif dan terus menyokong pertumbuhan ekonomi.