Sanusi beri bayangan sokongan cukup dalam Dewan Rakyat
‘Perubahan dijangka berlaku tidak lama lagi’

ALOR SETAR, 17 Syawal 1444H, Isnin – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor seolah-olah memberi bayangan pembangkang mempunyai sokongan mencukupi dalam Dewan Rakyat untuk membentuk kepimpinan baharu di negara ini.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai kemungkinan tersebut, selain berkata, perkara itu tidak boleh didedahkan buat masa sekarang.
“(Kerajaan Persekutuan baharu) tidak lama lagi? rahsia,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Namun, katanya, suatu perubahan dijangka akan berlaku tidak lama lagi.
“Tak lama dah, dia kata Tan Sri Annuar Musa pun kata tak lama dah. Tan Sri Noh pun ada sini,” katanya.
Muhammad Sanusi dalam ucapannya turut mendakwa gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) melakukan ekstremisme kuasa termasuk menggunakan dana kerajaan untuk melaksanakan kempen memenangi sokongan rakyat.
Dakwanya, perbuatan itu sedang memberi kesan kepada seluruh rakyat di negara ini menerusi peruntukan kerajaan di bawah kementerian yang digunakan untuk melaksanakan aktiviti kempen PH-BN.
“Mereka marah sangat dekat saya, sebab saya kata hendak buat jamuan raya ke hendak kempen pilihan raya?,”soalnya.