Dunia

Tiada istilah ‘tamat perang’ di Sudan

Tentera, RSF setuju gencatan senjata tapi tak hentikan peperangan

KHARTOUM, 17 Syawal 1444H, Isnin – Utusan daripada pihak yang berperang di Sudan berada di Arab Saudi untuk rundingan dengan pengantara antarabangsa bagi menamatkan konflik berlarutan selama tiga minggu.

Inisiatif Amerika Syarikat-Saudi adalah percubaan serius pertama untuk menamatkan pertempuran antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) yang menjadikan bahagian Khartoum sebagai zon perang sekali gus menggagalkan rancangan untuk memulakan pemerintahan awam.

Pertempuran sejak pertengahan April telah membunuh ratusan orang dan mencederakan ribuan yang lain, mengganggu bekalan bantuan dan menghantar 100,000 pelarian melarikan diri ke luar negara.

Manahil Salah, seorang doktor makmal berusia 28 tahun dalam penerbangan pemindahan dari Port Sudan ke Emiriah Arab Bersatu berkata, keluarganya bersembunyi selama tiga hari di rumah mereka berdekatan dengan ibu pejabat tentera di ibu negara sebelum pergi ke Pantai Laut Merah.

Beliau juga meluahkan, di sebalik rasa kesyukuran kerana masih hidup, namun beliau berasa sedih kerana terpaksa meninggalkan ibu bapanya di Sudan.

Beribu-ribu orang mendesak untuk berlepas dari Pelabuhan Sudan menaiki bot ke Arab Saudi, membayar penerbangan komersial yang mahal melalui satu-satunya lapangan terbang yang berfungsi di negara itu, atau menggunakan penerbangan pemindahan.

Walaupun pengantara sedang mencari jalan untuk meleraikan peperangan, kedua-dua pihak yang bertelagah menyatakan dengan jelas bahawa mereka hanya akan membincangkan gencatan senjata kemanusiaan, bukan berunding untuk menamatkan perang.

Mengesahkan kehadiran kumpulannya, ketua RSF Mohamed Hamdan Dagalo, yang biasa dikenali sebagai Hemedti, berkata, beliau berharap rundingan itu akan mencapai matlamat untuk memastikan laluan selamat untuk orang awam.

Hemedti berikrar untuk menangkap atau membunuh ketua tentera Abdel Fattah al-Burhan, dan terdapat juga bukti atas alasan bahawa kedua-dua pihak tetap tidak mahu membuat kompromi untuk menamatkan pertumpahan darah.

Konflik bermula pada 15 April berikutan keruntuhan rancangan yang disokong antarabangsa untuk peralihan kepada demokrasi.

Kuasa Barat menyokong peralihan kepada kerajaan awam di negara yang terletak di persimpangan strategik antara Mesir, Arab Saudi, Ethiopia dan wilayah Sahel yang tidak menentu di Afrika.

Penasihat keselamatan Amerika Syarikat, Jake Sullivan kini dalam perjalanan ke Arab Saudi untuk berbincang dengan pemimpin Saudi. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button