ADUN pembangkang Pahang sokong titah agih peruntukan secara adil
Titah Pemangku Raja Pahang satu arahan kepada kerajaan negeri

BANGI, 18 Syawal 1444H, Selasa – Titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah yang mahukan peruntukan diagihkan secara adil oleh kerajaan negeri disambut baik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man melihat titah tersebut sebagai satu arahan kepada kerajaan.
Malah, beliau menegaskan wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat berhak mendapat peruntukan daripada kerajaan negeri.
“Semua ADUN pembangkang bersetuju dan menyokong kerana kita berhak menerima peruntukan sama seperti wakil rakyat lain.
“Kita merakamkan penghargaan yang tinggi kepada Tuanku dan ia secara tidak langsung merupakan arahan dikeluarkan kepada pihak kerajaan negeri supaya menyalurkan peruntukan kepada semua ADUN.
“Tuanku sebut, kami (ADUN pembangkang) dipilih oleh rakyat dan hormati pilihan rakyat,” katanya.
Semalam pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15, Tengku Hassanal Ibrahim bertitah mengingatkan kerajaan negeri supaya memberikan peruntukan yang adil kepada wakil pembangkang di negeri itu.
Baginda menitahkan supaya landskap politik negeri perlu diubah selari dengan 66 tahun negara mencapai kemerdekaan.
Sebelum ini, ADUN pembangkang mendakwa l dianaktirikan kerajaan Pahang selepas tidak menerima sebarang peruntukan.
Atas dasar itu, Tuan Ibrahim yang juga ADUN Cheka menggesa kerajaan negeri mengambil perhatian serius terhadap titah Tengku Hassanal dalam menyalurkan peruntukan pembangkang bagi tujuan pusat khidmat dan pembangunan projek kecil di kawasan DUN.
Tegas beliau, peruntukan itu sangat penting kepada wakil rakyat terutamanya dalam menyelesaikan pelbagai isu dalam kawasan seperti bencana dan sebagainya.