Berita Utama

OPR naik tanda ekonomi negara sedang pulih

Salahkan perubahan OPR punca kenaikan kos sara hidup adalah pincang, tak berasas

BANGI, 18 Syawal 1444H, Selasa – Peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR) membantu pemulihan ekonomi negara dengan mengurangkan kos pembiayaan yang boleh merangsang aktiviti pelaburan dan penggunaan.

Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) ini seharusnya dipuji kerana ia menyokong pertumbuhan ekonomi.

Beliau juga berkata, berdasarkan luahan hati rakyat menerusi media sosial, jelas sekali terdapat segelintir individu yang salah faham isu berkaitan peningkatan kadar OPR.

“Ramai warganet dilihat mengecam tindakan itu kerana dikaitkan dengan kos sara hidup sedang meningkat.

“Ada juga menyatakan ia tidak seiring strategi pembangunan ekonomi kerajaan dan pelbagai lagi pendapat dilontarkan yang kebanyakannya tidak bersetuju dengan dasar dilaksanakan BNM itu,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata bahawa perubahan kadar OPR dipengaruhi oleh kitaran ekonomi.

“Kebiasaannya, apabila trend ekonomi menuju ke arah kemelesetan atau terdapat risiko kelembapan, OPR akan dikurangkan.

“Apabila situasi ekonomi terbabit pulih, maka ia akan dinaikkan bagi mengembalikan OPR kepada kedudukan asal sebelum berlaku kekacauan ekonomi berkenaan,” katanya.

Beliau juga menekankan kepentingan meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan masyarakat agar tidak berlaku salah faham tentang isu OPR.

“Meletakkan salah kepada perubahan OPR ke atas masalah seperti kenaikan kos sara hidup dan sebagainya adalah sesuatu yang pincang dan tidak berasas.

“Oleh itu, hal ini perlu diterangkan dengan sejelas-jelasnya supaya tidak timbul kekeliruan dalam kalangan masyarakat umum,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button