Dunia

Bekas PM Pakistan ditahan di Islamabad

Imran Khan berdepan lebih 100 kes dakwaan keganasan dan rasuah

NEW DELHI, 19 Syawal 1444H, Rabu – Bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan telah diberkas oleh pasukan separa tentera di perkarangan Mahkamah Tinggi Islamabad, mendorong protes jalanan seluruh negara.

Beliau dilihat dikelilingi anggota separa tentera dan dibawa pergi menaiki kenderaan berperisai dari premis mahkamah seperti yang tular di media sosial.

“Imran Khan telah dibawa pergi oleh orang yang tidak dikenali ke lokasi yang tidak diketahui,” kata naib presiden Tehreek-e-Insaf (PTI) Fawad Chaudhry dalam ciapan di Twitter.

Setiausaha Agung parti Asad Umar berkata, jawatankuasa enam anggota, yang diketuai naib pengerusi Shah Mahmood Qureshi akan menentukan tindakan seterusnya susulan pemimpin PTI mengeluarkan gesaan supaya orang ramai turun ke jalanan menentang penahanan Imran.

Imran yang berdepan lebih 100 kes membabitkan dakwaan keganasan dan rasuah, kelihatan menentang tindakan itu menerusi rakaman video sebelum berlepas ke Islamabad bagi menghadiri perbicaraan mahkamah.

Beliau membidas kes-kes terhadapnya dan mendakwa ia sebagai rekaan serta sebahagian daripada kempen menghalangnya daripada mengambil bahagian dalam pilihan raya.

Kerajaannya digulingkan dalam undi tidak percaya pada April tahun lalu dan Imran turut cedera dalam cubaan bunuh pada November ketika mengetuai perarakan.

Sementara itu, polis Islamabad dalam satu kenyataan memaklumkan Imran ditahan berhubung kes rasuah.

“Penangkapan telah dijalankan oleh Biro Kebertanggungjawaban Kebangsaan (NAB) kerana menyebabkan kerugian kepada perbendaharaan negara,” kata Menteri Dalam Negeri Pakistan, Rana Sanaullah.

Imran menikmati populariti yang meluas dan perhimpunannya menarik ramai orang. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button