COVID-19 masih wujud, masyarakat perlu sentiasa waspada
Sudah tiba masa kos vaksin dibayar rakyat, tak lagi diberi secara percuma

BANGI, 19 Syawal 1444H, Rabu – Pengumuman Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa wabak COVID-19 bukan lagi kecemasan global tidak bermaksud masyarakat boleh mengabaikan risiko virus tersebut.
Peralihan ke fasa endemik memberi kelonggaran kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengemas kini semula Prosedur Operasi Standard (SOP) supaya bersesuaian dengan situasi penyebaran virus yang kian lemah.
Pensyarah Kanan Jabatan Kesihatan Awam UPM, Prof Madya Dr Malina Osman berkata, pengisytiharan WHO bermakna semua peraturan berkaitan pencegahan dan kawalan jangkitan ketika fasa pandemik perlu dipertimbangkan dan diperhalusi untuk diguna pakai dalam fasa endemik.
“Dalam hal ini, KKM sudah pasti mempunyai pelan tindakan akan diguna pakai dalam konteks kawalan dan pencegahan jangkitan COVID-19, sama seperti penyakit berjangkit lain.
“Kemas kini pelan pencegahan itu dijangka dimaklumkan kepada masyarakat umum dalam tempoh terdekat,” katanya menulis dalam artikel disiarkan Berita Harian.
Beliau juga berkata, peralihan ke fasa endemik memberi kelegaan kepada pusat kesihatan kerana jangkitan COVID-19 bukan lagi ancaman utama terhadap sistem perkhidmatan kesihatan.
“Ini bermakna, peraturan mewajibkan pemakaian pelitup muka di organisasi tertentu perlu dikaji semula, kecuali untuk mereka bergejala.
“Justeru, majoriti individu sihat perlu diberikan pilihan untuk memakai pelitup muka atau tidak,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, KKM perlu memanfaatkan pengisytiharan endemik supaya mengekang perbelanjaan yang tidak perlu seperti pembelian pelitup muka atau ujian saringan yang agak mahal.
“Namun, dalam konteks pengambilan vaksin, sama seperti vaksin penyakit berjangkit lain, sudah sampai masa ada kos harus dibayar rakyat dan tidak lagi boleh diberikan secara percuma seperti pada era pandemik dahulu.
“Bagi individu dan rakyat, rutin kehidupan sedia ada boleh diteruskan seperti biasa, pada masa sama, mereka perlu kekal mengambil berat kesihatan individu berisiko di bawah jagaan untuk mengelakkan jangkitan teruk serta sentiasa mengamalkan cara hidup sihat,” katanya.