Berita Utama

Kekerasan tempat kerja babit warga KKM meningkat

Serangan fizikal, verbal ganggu produktiviti warga kerja, jejas kualiti penjagaan perubatan

PUTRAJAYA, 19 Syawal 1444H, Rabu – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, statistik pelaporan kes kekerasan terhadap warga kerja Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan peningkatan sejak enam tahun lalu.

Katanya, ia meningkat sebaik sahaja Garis Panduan Mencegah & Menangani Kekerasan Terhadap Warga Kerja KKM dilancarkan.

“Sebanyak 167 kes kekerasan dilaporkan pada tahun 2017 pasca pelancaran garis panduan ini.

“Manakala 442 kes dilaporkan pada tahun 2018 dan terus meningkat kepada 494 kes setahun kemudian,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, bilangan kes tersebut sedikit menurun kepada 321 ketika negara menghadapi gelombang COVID-19 pada tahun 2020 dan 260 kes pada tahun seterusnya.

Tegasnya, kekerasan di tempat kerja dalam apa jua bentuk sama ada serangan fizikal, verbal, seksual mahupun bertulis dikenal pasti sebagai salah satu cabaran utama yang boleh mengganggu produktiviti warga kerja kementerian itu.

“Kekerasan ini memberi kesan negatif terhadap keselamatan dan kesihatan psikologi serta fizikal, seterusnya menjejaskan prestasi kerja.

“Ia sekali gus menjejaskan kualiti penjagaan perubatan dan menyebabkan kerugian dari aspek perbelanjaan dalam sektor kesihatan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button