Korban di Sudan terus meningkat ketika proses rundingan damai
RSF guna kawasan perumahan sebagai pangkalan tentera

KHARTOUM, 19 Syawal 1444H, Rabu – Angka kematian akibat pertempuran berterusan di Sudan meningkat kepada 604 orang, serta lebih 5,100 orang turut cedera berhubung pertempuran itu.
Angka-angka baharu itu muncul ketika wakil-wakil pihak yang bertelagah sedang mengadakan rundingan perdamaian di Arab Saudi.
Pada hari Isnin, Jawatankuasa Doktor-doktor Sudan, yang menjejaki hanya korban awam, berkata bahawa kematian kini mencecah 487.
Konflik bermula pada 15 April, selepas berbulan-bulan ketegangan yang semakin memuncak antara tentera, diketuai oleh Jeneral Abdel-Fattah Burhan, dan kumpulan separa tentera Rapid Support Forces (RSF), yang dipimpin oleh Jeneral Mohamed Hamdan Dagalo.
Pertempuran itu menjadikan kawasan bandar sebagai medan perang dan menyebabkan hampir 700,000 orang kehilangan tempat tinggal termasuk 3.7 juta yang dipindahkan secara dalaman di dalam negara sebelum konflik bermula.
Pada hari Isnin, Kementerian Luar Arab Saudi berkata, rundingan perdamaian antara kedua-dua pihak yang bertelagah dijangka berterusan untuk beberapa hari lagi di bandar pantai Jeddah.
Rundingan itu adalah sebahagian daripada inisiatif diplomatik yang dicadangkan oleh kerajaan Arab Saudi dan Amerika Syarikat dengan harapan untuk menamatkan pertempuran berdarah tersebut.
Sementara itu, Burhan menuduh RSF menggunakan kawasan perumahan sebagai pangkalan tentera mereka dan menjadikan orang awam sebagai benteng pertahanan.
Burhan juga menegaskan pihak RSF perlu mengundurkan semua tentera mereka dari ibu negara, Khartoum, sebelum sebarang perjanjian gencatan senjata dapat dicapai. -Agensi