8 penyokong Imran Khan maut pertempuran dengan tentera
Bekas PM nasihat penyokong kekal dengan kedaulatan undang-undang

ISLAMABAD, 20 Syawal 1444H, Khamis – Sekurang-kurangnya lapan terkorban dan 1,000 yang lain ditahan berikutan bantahan yang dicetuskan penyokong bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan.
Penahanan Imran sebelum ini mencetuskan pertempuran antara penyokong kuat dan pasukan tentera ketika negara berdepan krisis ekonomi.
Semalam, tular rakaman video menunjukkan puluhan pegawai keselamatan secara paksa mengeluarkan pemimpin berusia 70 tahun dari mahkamah kemudian memasukkan semula ke kenderaan polis.
Terdapat kawalan ketat dilakukan di rumah tamu polis di tempat Imran ditahan yang juga berfungsi sebagai mahkamah.
Imran didakwa atas pertuduhan menjual secara tidak sah hadiah-hadiah negara sepanjang menjadi Perdana Menteri.
Bagaimanapun Imran menafikan dan menjelaskan beliau memenuhi semua keperluan undang-undang.
Sementara itu, peguam Imran, Sher Afzal marwat berkata, anak guamnya kini dalam keadaan baik dan menasihati penyokong supaya tidak berputus asa dan kekal dengan kedaulatan undang-undang. – Agensi