Buli pelatih TUDM: Suspek boleh dibuang kerja jika bersalah
'Tindakan bertentangan peruntukan undang-undang perkhidmatan'

BANGI, 20 Syawal 1444H, Khamis – Pelatih Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang didakwa terbabit dengan kes buli kemungkinan boleh dibuang dalam perkhidmatan sekiranya terbukti bersalah.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, pihaknya turut melakukan siasatan dalaman terhadap kes berkenaan dan tidak mahu terburu-buru dalam membuat keputusan.
Katanya, tindakan yang dilakukan suspek jelas bertentangan dengan peruntukan undang-undang perkhidmatan di bawah agensi berkenaan.
“Tak sepatutnya berlaku sebab ia bukan budaya kita lakukan. Tapi perkara seperti ini kadang-kadang berlaku termasuk di peringkat sekolah rendah pun ada buli.
“Kita harap perkara ini elok diberhentikan. Kalau di sekolah warden-warden cikgu dislipin, di agensi kementerian kita akan nasihatkan. Kita jangan terlibat dalam perkara yang boleh menjadikan kesalahan dalam term of services.
“Kalau berlaku dan masih berlaku dan didapati terlibat dan tak endahkan larangan, pihak services tak akan teragak-agak ambil tindakan dan boleh dibuang kerja,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas isu enam pelatih kursus TUDM mendakwa dipukul ketika menjalani latihan di Pangkalan Udara Kuantan.
Kes buli berkenaan terbongkar selepas keluarga seorang mangsa tampil membuat laporan polis sebelum tular di media sosial.
Terdahulu, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya telah memanggil lebih 10 individu bagi memberi keterangan bagi tujuan siasatan.
Selain mangsa, turut dipanggil untuk memberi keterangan adalah enam suspek yang didakwa terlibat dalam kes memukul pelatih berkenaan.
Pautan berkaitan;
https://ismaweb.net/2023/05/09/polis-pahang-panggil-10-individu-bagi-keterangan-isu-buli-pelatih-tudm/