Dunia

Islamofobia: Masjid di Jerman pula dibakar

Gesa pihak berkuasa ambil tindakan segera lindungi umat Islam

BERLIN, 20 Syawal 1444H, Khamis – Polis di Jerman menjalankan siasatan ke atas cubaan serangan membakar sebuah masjid di bandar timur Dresden pada malam Selasa.

Suspek, seorang lelaki berusia 34 tahun, yang menumpahkan cecair mudah terbakar di dalam Masjid Fatih – cuba membakar tempat ibadah tersebut, melarikan diri dari tempat kejadian namun kemudian ditahan di rumahnya.

Pengerusi yayasan masjid, Ramazan Yildirim, berkata, ini percubaan kedua suspek membakar tempat ibadah umat Islam dalam tempoh sebulan.

Kesatuan Turki-Islam untuk Hal Ehwal Agama (DITIB) meminta pihak berkuasa Jerman mengambil langkah segera bagi melindungi masyarakat Islam di negara tersebut.

“Kami amat sedih dan bimbang dengan serangan seumpama itu yang menyasarkan masjid.

“Kami menjangkakan pihak berkuasa mengambil semua langkah yang perlu dan berharap serangan sedemikian akan berakhir,” kata Emre Simsek, ahli lembaga penasihat DITIB, dalam satu kenyataan.

Jerman telah menyaksikan isu Islamofobia yang semakin meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, didorong oleh propaganda kumpulan sayap kanan, yang mengeksploitasi krisis pelarian dan cuba mencetuskan ketakutan terhadap pendatang.

Polis Jerman mendaftarkan sekurang-kurangnya 610 jenayah kebencian Islamofobia tahun lepas di seluruh negara.

Kira-kira 62 masjid diserang antara Januari dan Disember tahun lalu, dengan sekurang-kurangnya 39 orang cedera kerana keganasan anti-Muslim.

Angka itu juga termasuk berpuluh-puluh jenayah kebencian terhadap umat Islam, kes ugutan, vandalisme dan kerosakan harta benda.

Negara dengan lebih 84 juta penduduk, Jerman mempunyai penduduk Islam kedua terbesar di Eropah Barat dengan jumlah menghampiri 5 juta umat Islam. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button