Berita Utama

Lelaki persenda ucapan salam ditahan

Task Force 3R PDRM buka 18 kertas siasatan

BANGI, 20 Syawal 1444H, Khamis – Task Force Siasatan 3R (bangsa, agama dan Raja) kendalian Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini membuka 18 kertas siasatan dan menahan 12 individu bagi membantu siasatan.

Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, siasatan ke atas semua kes itu dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298A Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“PDRM menasihatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan media sosial dengan mengeluarkan kenyataan mempersenda yang boleh menimbulkan kemarahan dan rasa benci, mencetuskan ketidakharmonian dan perpaduan kaum, bangsa, agama, bahkan menyentuh sensitiviti sistem beraja.

“Tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada demi melindungi ketenteraman dan kepentingan masyarakat,” katanya.

Baru-baru ini, pihak polis menahan seorang lelaki warga tempatan di sebuah lokasi di Wangsa Maju berhubung satu klip video disyaki menghina ucapan salam yang tular di media sosial.

Beliau berkata, pihak polis turut merampas dua telefon bimbit serta tiga kad sim milik suspek dan kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan perpaduan.

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya.

Suspek direman selama empat hari bermula 10 Mei hingga 13 Mei.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button