Berita Utama

‘Tahniah FamilyMart tak jual minuman keras di premis’

Usaha ISMA, PEMBELA sejak 2022 mula buahkan hasil lebih meluas

BANGI, 20 Syawal 1444H, Khamis – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menyambut baik langkah FamilyMart Malaysia menghentikan penjualan minuman alkohol di semua 360 cawangan kedainya di seluruh negara sejak Mac lalu.

PEMBELA dalam kenyataan berkata, langkah FamilyMart itu sekali gus membuktikan usaha yang digerakkan pertubuhan itu bersama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) sejak 2022, mula membuahkan hasil yang lebih meluas.

Semalam, QL Resources Bhd (QL), pemegang francais induk FamilyMart Malaysia telah menghentikan penjualan minuman alkohol di semua cawangan kedainya di seluruh negara.

Pengarah Urusan QL Maxincome Sdn Bhd, Chia Lik Khai berkata, keputusan itu dibuat bagi membolehkan ia mendapatkan pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sekali gus menjadikan FamiCafe sebagai kafe kedai serbaneka pertama di Malaysia yang menerima sijil halal.

Katanya, pensijilan halal itu juga selari dengan usaha berterusan FamilyMart Malaysia untuk memastikan pelanggannya untuk berbelanja dan menjamu selera tanpa was-was dalam premis miliknya.

“Tahniah kepada semua yang berusaha dan tahniah juga kepada FamilyMart atas pendekatan tidak lagi menjual minuman keras di premis.

“Bersama kita membentuk masyarakat yang lebih sihat sejahtera dan persekitaran kerja yang meletakkan pekerja-pekerja muslim daripada terlibat dengan pelanggaran undang-undang Syariah,” kata PEMBELA.

Februari tahun lalu, ISMA bersama Yayasan Maghfirah melancarkan kempen ‘Malaysia Sejahtera Tanpa Arak’, yang menuntut pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tidak membenarkan penjualan arak di kedai-kedai serbaneka di kawasan majoriti muslim.

Kempen itu antara lainnya turut menuntut kerajaan menetapkan polisi komuniti bebas arak supaya tiada lagi program yang menghidangkan arak secara terbuka dan umum, selain menguatkuasa serta memperkemaskan undang-undang berkaitan arak dan memperketatkan syarat membeli serta menjual arak.

Selain itu, ia juga menuntut pihak berkuasa membuat pemeriksaan dan pemantauan yang lebih ketat ke atas pemandu-pemandu mabuk terutamanya di waktu malam.

Kempen berkenaan bukan hanya menyasarkan kepada golongan muslim, tetapi juga untuk setiap lapisan masyarakat di negara ini.

Selain PEMBELA, kempen itu juga mendapat sokongan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain antaranya Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Kebajikan Darul Islah Selangor (PERKID), Malaysia Alliance of Civil Society Organisation (MACSA) dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button